January 15, 2007

Sekolah


Hari ni first day Syafique masuk sekolah.

Sebelum balik cuti hari tu dah pesan kat opis mate untuk daftarkan sekali Syafique kat Taski tu bersama dengan anak dia. Pada 03/01/2007 hari tu dia gi daftar dan anak dia start sekolah. Syafique masa tu masih kat Kelantan.

Pagi tadi bila kejut dia untuk ke sekolah bukan main excited lagi dia. Breakfast pun tak mau sebab nak gi sekolah. Paksa jugak dia makan roti sekeping. Sambil makan pun beg sekolah dah disandang kat belakang. Tah apa barang yang ada kat dalam tu pun tak tau. Ibu dia yang prepare segala.

Bila masuk kereta nak gi hantar dia, rupanya dia ingatkan sekolah dia tu adalah nursery dia setahun yang dulu. Macam pelik dia bila masuk jalan lain dan jauh.

"Kita nak gi sekolah mana ni ayah?"
"Nak gi sekolah Syafique la. Syafique bukan lagi sekolah dengan teacher yang dulu. Ini sekolah lain" Aku cakap.

Sambil drive, aku terpikir pikir jugak, boleh ker aku tinggal dia kat sekolah yang baru ni dengan kawan kawan yang baru. Dibuatnya nak ikut balik, masalah jugak ni.

Bila sampai kat sekolah, dah ada ramai kawan kawan dia yang semuanya berpakaian sekolah, berbaju melayu hijau dan seluar hijau dengan kopiah putih. Dia nampak tercengang. Mungkin terpikir dalam kepala otak dia kot, "Ini ker sekolah baru aku?". Pimpin tangan dia bawak masuk jumpa cikgu dia, bagitau yang dia dah daftar, pastu mintak tukar baju sebab baju yang diberi dulu besar sikit saiz dia. Nasib baik ada yang saiz S, dan cikgu dia yang lain bawak ke dalam untuk tukar baju sekolah.

Dia keluar dengan pakaian seragam serba hijau serta berkopiah putih dan tersenyum kat aku. Cakap kat dia yang aku nak balik, nanti pukul 11.00 datang ambik balik. Dia angguk sambil cari tempat duduk kat meja bersama kawan kawan yang lain. Aku salam dan cium dahi dia, pastu terus balik.

Bila time gi ambik dia, dari luar pagar aku nampak dia bersama dengan kawan kawan dia. Nampak kebaru baruan, baru nak belajar sesuaikan diri. Dia tengok apa orang lain buat, pastu dia ikut. Dia tengok macam mana orang berbaris salam dengan cikgu, pastu baru dia ikut. Dia tengok pulak kawan dia bergerak ambik kasut, baru dia ikut ambik kasut. Dia tengok kawan dia dah ambik beg, baru dia ikut ambik beg. Bila ternampak jer aku kat pagar sekolah tu, terus dia lambai sambil terjerit jerit panggil ayah dia.

Masuk jer kereta, terus dia tunjuk kertas kerja yang dia buat kat kelas tadi. Sambung sambung garisan tu. Duduk kejap, terus menulis pulak kat kusyen belakang kereta. Cerita pasal apa yang dia buat kat sekolah selama tiga jam tadi tu, sampai sekarang tak abis abis lagi. Tak sabar sabar nak gi sekolah lagi esok.

Terasa macam baru minggu lepas aku hantar ibu dia dengan kereta Kancil gi Hospital Queen Elizabeth untuk bersalinkan dia. Dah masuk sekolah dah dia. Dah pandai berkawan dah. Dah lima tahun dah.

January 14, 2007

Balik.


Dah sebulan takder entry kat sini. Minta maaf kat kengkawan yang berkunjung.

Kenapa Balik.

Memang takder plan pun awal awal tu nak balik kampung kat Kelantan. Nak jadi cerita tahun ni layak untuk apply tiket free. Awal bulan Disember hantar borang, dua minggu pastu dah dapat tiket. Hujung tahun, senang pulak dapat, nak kasik habis bajet.

Ingat nak balik awal lagi, tapi sangkut ngan exam PTK pulak pada 28/12/2006, so tukar date tiket, balik 29/12/2006. Tak bagitau pun dengan orang kampung yang kami anak beranak nak balik. Sesekali buat suprise, berbaloi jugak kena marah.

Buat apa kat kampung.

Adik aku yang kat Kelang tu, dah lama bagitau yang dia nak buat korban raya haji ari tu. Besar sangat harapan dia kalau kami boleh balik dan berkumpul ramai ramai. Lagipun dorang nak sangat tengok Daniel. Tak pernah tengok lagi.

Jadi kami balik hari tu, sempat la sama sama kerjakan daging korban. Daging mentah jer yang sempat laburkan kat orang kampung, semua yang selebihnya tu kami anak beranak kendurikan. Tak sempat nak jemput sapa sapa, tetiba jer habis kami satu keluarga makan. Alhamdulillah sempat aku dan anak anak bertemu dengan semua adik adik yang lain. Dah besar rupanya keluarga kami bila berkumpul cenggitu.

Kebanyakan yang lain balik empat hari jer. Aku jer yang lantak pergi cuti kat sana sampai dua minggu. Bila semua orang dah balik tempat kerja masing masing, tinggal le kami tercongok kat rumah sendiri sendiri. Bila dah suasana cenggitu, timbul la keinginan di hati orang pompuan nak bershopping shopping. Bawak la jugak dia ke Rantau Panjang. Bukan sekali, dua kali kami turun Rantau Panjang.

Nenek dan Atuk anak anak aku paling suka bila dapat manja manja ngan Syafique, Faeiz dan Daniel. Syafique tak habis habis berjalan, dibawak oleh atuk dan pak sedara dia naik motor. Faeiz, mulut dia sentiasa ada jer makanan. Lepas ketupat tiga bucu tu, dihentam nya makan tapai beras sampai dua tiga bungkus pulak. Bangun pagi, habis biskut kering atuk dia makan dengan celup dalam air teh. Kalau kat rumah KK takder pulak dia buat perangai camtu. Daniel pulak pantang bunyi merengek sikit, ada jer sapa sapa yang ambik dukung. Mulut tu senyum jer sokmo bila atas dukung.

Beli Apa.

Disebabkan balik kampung tanpa perancangan yang lama. Bajetpun tak la banyak. Tapi kalau dah dua kali gi Rantau Panjang tu, ok la jugak mender yang dibeli. Ibu beli kain tudung, kasut ngan kain baju dia kat sana. Untuk budak budak tu dia beli banyak kain baju. Kat aku pun ada jugak baju dua tiga helai pastu ngan sandal. Dan tak dilupakan juga ToTo tu dua bijik.

Bawak Balik Apa.

Syafique bawak balik parut luka kat kepala lutut sebab terjatuh atas jalan hari tu. Berlari tak renti renti, tah berapa kali jatuh tak tau, pastu kena pulak luka kat tempat yang sama. Siang tadipun terlanggar apa entah berdarah pulak parut tu.

Faeiz balik KK dengan pipi yang agak besar dan bulat sikit berbanding sebelum balik hari tu. Makan tak pernah pandai berenti. Masa pagi nak balik tu pun sempat lagi makan ketupat untuk sarapan pagi yang nenek dia buat khas untuk dia. Bahkan, dibekalkan lagi dengan ketupat daun palas tu untuk dia makan kat KK ni.

Daniel juga bawak balik perangai dia yang tak mau duduk dan nak digendung. Pantang letak, sekejap menangis, pastu dah pandai jugak sekarang ni menangis kuat kuat sampai serak serak suara.

Ibu bawak balik parut yang banyak kat lengan dan tangan bekas kena gigit nyamuk. Orang tak pernah kena gigit nyamuk ni rupanya berparut kulit kalau sesekali kena gigit nyamuk.

Aku bawak balik akaun yang menghampiri "baki akaun anda tidak mencukupi" untuk dibuat pengeluaran.

Kesimpulan.

Balik sekali setahun sayang orang akan jadi lebih kat kita. Daniel yang paling kaya sebab ramai sanak sedara, jiran jiran serta keluarga terdekat bersedekah kat dia.

Terima kasih semua.

December 16, 2006

Extend


Last Week
Hari terakhir hantar proposal untuk next semester Project bagi semester akhir.

Student: Hello, incik ada kat opis ker?
Aku : Ada. Naper?
Student: Nak hantar proposal.
Aku : Erghh. Hari ni due kan? Aduihh... Ok la. Hantar jer.
Student : Kejap incik, 10 minit. Nak print drawing jap.
Aku: Haa. Yer la.

Team dorang ni, baru dua kali datang jumpa ngan aku untuk discuss pasal project ni. Tajuk pun belum tentu aku boleh lepas lagi.

Jumaat.
Dalam dewan peperiksaan.

Student: Camana incik ngan proposal kami hari tu?

Aku : Camana apa kalau saya tengok kat content page tu pun macam banyak yang tak kena dah. Rasa macam banyak lagi kena bincang balik laa. Semester depan laa.

Student : Semester depan incik?Awal semester dah nak kena start ngan buat barang ngan testing apa lagi dah.

Aku : Design macam tak cun aar. Extend la korang. Lagipun, bukan student mekanikal la kalau tak extend.

Student : errk....

Baru aku perasan, memang student mekanikal ni susah nak grad on time eek.

*Teringat aku kat roomate aku masa study dulu bila prof dia gi ketuk bilik hostel aku nak mintak dia hantar proposal tesis. Sama naik jer la kot geng aku dulu dengan student aku ni sekarang.

December 13, 2006

Kapten


SMS
Kapten dewan now!

Maksudnya aku kena jadi Ketua Dewan untuk satu sesi peperiksaan semalam.
Peperiksaan bermula 10.45am, sms tu aku dapat pada pukul 10.37am.

Call balik.

Aku : Macam mana aku boleh kena jadi Ketua Dewan pulak? Betul ker?
Dia : Huk Aloh dalle jadua namo demo nih.
Aku : Hoh. Aku tersilap tengok jadual ker?
Dia : Demo bagi aghahe (arahan) kot telepong aar, biar kawe letak telepong kat mic.
Aku : Haha... boleh ker?
Dia : Hoh. Kechek (cakap)aarr, kawe letok kat mic dah ni.
Aku : Nak bagi arahan macamana, apa pun tak tau ni. Jap lagi aku sampai.

Lima minit kemudian aku sampai kat dewan exam. Bagi arahan untuk student masuk dewan dan segala macam arahan yang lain lagi. Peperiksaan bermula pada pukul 10.45am jugak mengikut jam kat dewan peperiksaan tu setelah diperlewatkan selama 10 minit.

Dia : Sebenarnya ini nak uji demo tentang pengurusang diri bila berada dalam keadaan kelam kabut ni.
Aku : Abis tu pass ker aku dengan ujian ni?
Dia : Pass.

Mengikut memo yang aku dapat, salah satu dari tugas Ketua Dewan adalah "Mesti HADIR di dewan peperiksaan 15 minit sebelum peperiksaan bermula"

*Lain kali, tengok setiap kolum dalam jadual yang orang bagi tu betul betul.

December 11, 2006

BBS

1998 bbs.rindu Gathering

Pada suatu masa dahulu ada satu tempat di dunia maya ni yang dinamakan BBSRindu. Ia merupakan satu tempat berkumpul satu komuniti manusia dari berbagai daerah di dunia nyata. Dengan menggunakan program telnet, tempat ini dibangunkan dengan sistem bbs. (Bulletin Board System)

Pada masa kegemilangannya, terdapat ramai pengunjung dari berbagai peringkat dan status. Majoritinya adalah pelajar yang berada disetiap pelusuk dunia. Di tempat ini, mereka bertukar tukar fikiran, bertukar tukar ilmu serta paling tidak bertanya kabar antara satu sama lain. Keakraban yang terjalin sungguh unik. Mungkin disebabkan kebanyakannya bukan dari kalangan yang tinggal bersama keluarga, jadi tempat ini dijadikan arena untuk meluahkan dan menceritakan sesuatu.

Bila masa berlalu, dari seorang pelajar mereka menjadi seorang pekerja. Rata rata nya pula adalah pekerja proffesional. Masing masing berbangga dengan pencapaian yang diperolehi oleh ahli komuniti mereka. Topik penceritaan mula berubah angin, dari dunia kehidupan kampus kepada cerita cerita profesion yang juga amat menarik.

Masa yang sentiasa berubah menyebabkan komuniti ini juga berubah. Semakin lama dalam profesion masing masing, semakin kurang masa yang boleh diluangkan di tempat ini. Bila dah dua tiga tahun bekerja, ramai pula yang telah mendirikan rumah tangga. Dari semasa ke semasa tempat ini menjadi semakin kurang pengunjungnya.

Kepada mereka mereka yang terlibat dengan komuniti ini, rasanya masa tersebut adalah satu masa yang boleh dijadikan kenangan. Kalau anda yang baca ni adalah adalah salah sorang dari mereka, please drop a comment then cakap la apa apa.

Thanks to RedMummy yang mengilhamkan aku untuk buat entri ini dan sekali lagi setelah sekian lama memanggil aku dengan nick BRaTT.

Some historical Gathering Pix from Fahroe.com

December 6, 2006

Markah


Last Week, Isnin.

Student: Incik bila boleh keluar carry mark incik?
Aku : Hari Jumaat ni nanti saya tampal.

Last Week, Jumaat.

Student : Incik, mana carry mark, takder nampak tampal pun?
Aku : Tak sempat nak siap la. Isnin ni boleh kot.

Semalam

Student : Incik, dah boleh tengok ker?
Aku : Tak payah nak tengok tengok la. Semua lulus tu. (*Dengan muka garang)
Student : Ooo. Yer ker.

Hari ni.

Sebenarnya sampai sekarang ni tak siap siap lagi marking. Ada 2 tugasan dan ada 1 ujian yang aku belum sentuh lagi. Itu untuk satu subjek. Satu subjek lagi tu, apa pun belum ada markah lagi.
Minggu depan dah nak exam, markah ni kena key in paling lewat pun minggu ni dah ni.
Mati la buat kerja macam ni.

*Jangan kecik hati bila lecturer tak tunjuk carry mark. Lecturer pun cam korang juga, pernah belajar buat kerja last minute.

December 5, 2006

Retro: Finale



Era Rock

Pertengahan 80an adalah era Rock. Time ni aku dah remaja dan dah pandai mengikuti perkembangan muzik tanah air. Semua orang kat sekolah nak jadi Rock. Kalau nak jadi Rock, dressing pun semua kena Rock. Kalau nak tahu camana dressing budak budak Rock korang tengok la cerita ROCK Mamat Khalid tu.

Tak banyak kat TV time tu yang expose pasal Rock ni. Masa tu Tok Mat jadi menteri penerangan. Sikit sikit banned, sikit sikit gam. Rockers yang keluar kat TV biasanya akan di ikat rambut dorang pastu letak klip supaya nampak pendek. Kalau ada yang keluar TV pun kat Muzik Muzik TV3 tu. Apa apa pun lagu Rock mesti menang dalam Muzik Muzik.

Sebelum nak timbul Rock ni, lagu lagu new wave banyak mempengaruhi. Time ni, video clip muzik mana ada banyak banyak macam sekarang. Kalau nak ada pun time raya, merdeka atau tahun baru. Salah satu rancangan yang tunjukkan video clips mat saleh kat TV, itu pun hujung tahun, adalah Flashback 85, atau kalau tahun 1986, Flashback86. Time ni la kalau nak tengok Michael Jackson, Culture Club, Lionel Richie, The Police, WHAM dan macam macam lagi.

Selain dari hiburan berbentuk muzik, sitcom sitcom komedi mula untuk mengambil tempat kat TV pada masa ni. RTM ada satu sitcom yang cukup diminati pada masa tu iaitu Santan Berlada. Ramai pelakon sitcom ni jadi popular. Salah sorang dia Os. Sitcom Pi Mai Mai TangTu yang cukup lama bertahan tu juga bermula kat RTM. Awal awal dulu dia muncul dengan tajuk Shhh... , pastu tukar tajuk jadi Flat Sri Wangi ker, last sekali tu baru jadi Pi Mai Pi Mai tang tu, yang ni baru TV3 yang siar.

Cukup la kot pasal citer citer lama ni. Last sekali, nak test kalau kalau korang dah hidup dan ingat ngan citer citer ni.

The A-Team, Airwolf, Cagney and Lacey, Fall Guys, CHIPs, Lone Ranger, Lucan, Manimal, Falcon Crest, The Greatest American Hero, McGyver, Magnum P.I.

Kalau korang masih ingat, sedarla yang series tu dah jadi klasik, dan korang pun semakin klasik la gamaknya. Hahah.

Mender ni sebenarnya salah satu cara untuk ukur usia jugak ni. Aku suka dengar Sinar.fm kerana lagu dia nostalgia. Student aku suka x-fresh sebab dia orang ingat Sinar.fm tu lagu klasik.

November 29, 2006

Retro 2


Ibu tanya aku lagi, "Charlie's Angel tu dulu ada main kat tv ker?"

TV warna start siarannya pada tahun 1978, to be exact 28 Disember 1978. Aku sempat tengok pelancaran dia yg dibuat oleh Tun Hussein Onn. Selepas dia buat ucapan, dia tekan satu butang pastu keluar kaleidoskop yang berpusing pusing tu kat tv, lepas tu logo baru rtm keluar. Biarpun dia lancar TV warna kat situ dengan segala mender tu, aku tetap juga nampak hitam putih sebab tv hitam putih. Banyak tahun jugak lepas tu baru aku dapat tengok tv yang berwarna.

Rumah pertama yang ada TV warna kat kampung aku ialah rumah Jeman 'Limah. Rumah dia dekat belakang surau kat kampung. Cerita yang teringin sangat aku nak tengok dalam versi warna adalah cerita Incredible Hulk. Teringin sangat aku nak tengok macam mana hijau nyer Hulk tu bila dia bertukar. Satu cara yang aku kena buat ialah, kena cakap ngan mak ngan ayah aku yg aku nak gi semayang kat surau pada malam Incredible Hulk tu main. Bila sampai jer kat rumah Jeman, orang kampung dah penuh sampai ke tangga. Kita yang masih lagi budak ni, terpaksa kena terendap rendap kat pintu. David Banner (yer ker gini eja nama dia) akan jadi Hulk dua kali jer dalam satu siri. Dan sempat la jugak aku tengok kat situ for the first time nya baju dia koyak dan jadi hulk dalam versi warna. Tapi, time tu dia jadi hulk pada waktu malam, badan dia tak nampak pun hijau, tapi warna biru, sebab malam kan.

Selepas pelancaran siaran warna oleh rtm, rasanya banyak program program melayu yang dibuat. Ada banyak program berbentuk hiburan yang muncul. Ada Puspawarna, satu program nyanyi nyanyi yang akan dihoskan oleh satu artis popular semasa. Artis dia macam Yusliza Hussein, Rafeah Buang, Uji Rashid, Hail Amir, Malik Ridzuan. Dato' Shake pun sempat kot ngan program ni.

Bintang rtm adalah satu program yang sungguh popular. Jiran aku akan beli URTV tiap tiap bulan untuk tahu pasal artis artis Bintang RTM. Aku masih ingat bila Sudirman nyanyi lagu Sijali jali kat final bintang rtm. Rumah aku penuh ngan anak anak dara kampung yang berkumpul untuk tengok pertandingan tu. Jamal Abdillah ngan Ramlah Ram menang tu pun aku rasa aku sempat tengok.

Selain dari rancangan berbentuk hiburan cenggitu, ada juga program berbentuk ujiminda. Tekaria adalah salah satu program berbentuk sedemikian yang pertama disiarkan. Ayah aku cukup suka ngan rancangan ni, pastu dia juga akan panggil aku ngan adik adik aku untuk tengok sama. Format dia aku dah lupa tapi apa yang aku masih ingat ialah dia ada satu slot untuk penonton di rumah. Kalau tak silap dia akan tunjukkan satu gambar yang close up, pastu dia suruh penonton teka apa mender. Pastu kena kumpul kumpul jawapan dia, sampai abis musim. Ada kawan kat sekolah yang suka kumpul soalan dia dan cari jawapan. Bila dah abis sampai episod last, kami ambik soalan dari dia beserta dengan jawapan, pastu buat poskad sendiri dari manila kad, tampal stem, pastu hantar. Setiap sorang mahu ada 10 keping kot yang hantar. Stem untuk poskad baru 15 sen. Tapi tu la, sorang pun antara budak kelas aku tu takder yang mengena.

bersambung....

November 28, 2006

Retro 1



Satu hari ibu tanya aku, " Kenapa ayah suka dengar Sinar.fm pulak sekarang ni"

1970an - 1980an

Dulu time aku kecik, TV takder lagi kat rumah, karan pun takder lagi, setiap malam Jumaat ayah akan dukung aku dan mak dukung adik aku, Zura, ke rumah Paksu Ya'akub untuk tengok tayangan gambar melayu. Ayah akan membawa pelita minyak tanah yang ditutup dengan daun pisang pada satu bahagian nya supaya tak ditiup angin. Cerita P.Ramlee dan Mat Sentul adalah kesukaan aku.

Rumah kami adalah rumah kedua dikampung kami yang ada TV. Itupun tv hitam putih 20 inci yang ada pintu. Bila nak tengok TV, buka pintu, onn kan tv pastu gi ambik nasi kat dapur, keluar balik pun gambar masih lagi belum keluar. Dekat 5 minit ada kot baru keluar gambar. Jiran jiran akan bertandang untuk tengok tv selepas isyak. Kalau nak makan nasi kena awal awal.

Siaran TV akan start pada jam 5.00 petang pada hari hari yang biasa. Pada hari Ahad jam 3.00 petang. Masa ni yang ada cuma RTM1 ngan RTM2 jer. Ayah ngan mak suka menonton slot Drama Minggu Ini. Anjang Aki, Tok Perak dan drama drama lakonan Ahmad Tarmimi Serigar, Rahim Razali, Dian P.Ramlee, Azean Erdawati adalah yang selalu ditunggu tunggu.

Selain drama melayu, salah satu citer yang mak aku suka dan aku selalu tengok ialah Litle House on the Praire. Tah kenapa mak aku suka citer ni. Mungkin sebab ini family nyer citer dan dia ada anak ramai kot. Tapi Donny and Marie pun mak selalu tengok jugak.

Drama drama bersiri melayu mula muncul diawal 1980an. Ini seperti Opah dan PJ tu yang cuba untuk tiru soap opera Dallas. Mak tak kasi tengok citer Dallas sebab perempuan dia seksi. Cerita Fantasy Island pun jarang jarang jer boleh tengok. Lagipun citer citer cenggini start dah jam 10 malam, selepas slot PERISTIWA atau Laporan Parlimen. Boring. Pakcik aku yang masih bujang time tu selalu jugak datang rumah aku tengah tengah malam untuk tengok Starsky and Hutch. Aku tak pernah tengok sebab dia main tengah malam.

Aku masih budak budak. Mana paham tengok drama yang berat berat cenggitu. Cerita Combat, Charlie's Angel dan Lone Rangers adalah cerita cerita yang selalu dibualkan di sekolah. Cerita katun pun banyak yang memboringkan sebab semua cakap omputih dan mana ada subtitle. Asyik asyik Flinstone atau Hanna Barbara punya katun yang keras keras jer semua tu. Katun pertama yang cakap melayu seingat aku ialah Tempen Asoka, cerita jepun yang robot ada driver pastu boleh tukar tukar bentuk cam transformer tu. Kalau hari Rabu yang ada citer ni, balik ngaji Quraan kena awal, takut termiss pastu esok orang citer kat sekolah kita takleh join. Ada juga sesekali RTM tu tunjuk Wonderful World Of Disney, time ni katun Mickey Mouse ngan geng geng dia tu kira best sangat la tu. Gelak sampai keluar air mata.

Selain tu ada juga slot slot yang lain. Kalau macam malam jumaat, memang takleh nak buat apa sebab Atuk ngan nenek akan datang rumah untuk tengok Sinar Islam. Ada satu slot masak masak KESUMA yang main sebelah petang tu, time ni pun takleh kacau sebab mak akan tunggu depan TV. Ada satu slot yang dorang takleh kacau aku adalah bila CUMI dan CIKI main. Yang ni aku punya. Teringat kat Wazata Zain ngan Kak Yong.

bersambung....

November 24, 2006

Hilang


Lokasi : Giant.

Ayah tanya ibu, ibu tanya ayah : "Mana Syafique?"
Ibu jawab : "Bukan ngan ayah ker?"
Ayah jawab : "Bukan ngan ibu ker?"

Ibu nampak pucat, ayah nak marah ibu.
Ibu tinggal adik ngan Faeiz sama ayah, gi cari Syafique. Ayah tengok ibu. Melilau ibu cari Syafique, last last ibu jumpa Syafique kat kaunter. Ada orang kat kaunter tu yang jaga Syafique.
Ibu pimpin tangan Syafique yang berair mata dia dan mulut yang bebek.

Syafique nampak ayah, terus peluk ayah. Ayah peluk dan pujuk Syafique.

Lokasi : Dalam kereta.

Ayah:
Syafique pergi mana sampai hilang?

Syafique:
Syafique gi tengok tempat mainan mainan.

Ayah:
Pastu?

Syafique:
Syafique jumpa kawan. Syafique tanya kawan. Mana ayah. Mana Ibu. Mana Angah. Mana adik Daniel. Kawan tak mau cakap. Cewek polis angkat Syafique, dia cakap, jangan nangis nanti bising.
Cewek polis angkat Syafique letak atas kerusi.

Ayah:
Haha. Tu la sapa suruh pandai pandai jalan sendiri tak nak ikut ayah ngan ibu.

Ibu:
Hampir hampir dorang nak wat announcement dah tadi. Bila ibu sampai tu, staff kat situ dah angkat tangan ngan orang kat dalam bilik tu cakap, tak payah, dah datang dah ibu dia.

Moral : Ibu jangan konfiden Syafique ada ngan ayah, Ayah jangan konfiden Syafique ada ngan ibu bila gi shopping dan bila ayah ngan ibu berpecah.

November 21, 2006

Peluang


Dia :
Hello. Sibuk ker? Nak mintak tolong ni.

Aku:
Tak sibuk. Naper.

Dia:
Minyak kereta abis la. Tolong hantar minyak. Aku kat depan pasar ni.

Aku:
Haha. Jap aku sampai.

Lima belas minit kemudian.
Aku sampai dengan petrol dan potostat keratan akhbar pasal pil jimat minyak.
Selepas isi petrol, aku bagi keratan akhbar.

Dia:
Waa... kena dengan masa dan situasi ni. Order la untuk aku satu papan.

Aku:
Ok. Minggu depan bila sampai aku kasik tau.

Aku tak ambik kesempatan kan?
Kalau aku tak jual pil jimat minyak pun, aku hantar jugak petrol tu.

November 17, 2006

Bisnes


The Regency Tanjung Tuan Resort Port Dickson

Jumpa kawan kawan lama time study yang sama sama kena attend meeting. Ada dari Utara, selatan, Pantai Barat dan Pantai Timur.

Exhibit A

Incik Selatan:
Dah berapa anak?

Aku:
Tiga. Dalam puasa baru ni dapat lagi sorang.

Incik Selatan:
Alhamdulillah. Dah ambik insuran untuk yang kecil ni?
Bagus kalau ambik awal awal ni, tak banyak sangat kena bayar monthly.
Kalau nak aku ada jual polisi untuk education anak anak.

Aku:
Nanti la. Tunggu gaji dulu. Kalau ok, aku call kau.


Exhibit B

Incik Utara:
Pakai kereta apa kat sana?

Aku:
Gen2 jer. Naper.

Incik Utara:
Berapa minyak sebulan ko spend untuk minyak?

Aku:
Tah ler takder aku kira pulak. Tengok la berapa banyak aku jalan.

Incik Utara:
Ko pernah dengar tak ada satu pil ni yang boleh jimat minyak. Aku pakai ni dari Utara sampai PD ni, baru RM60. Save minyak ni.
Aku bagi ko satu sampel ni, balik try la. Kalau ko rasa ok, kontek la aku.
Aku tengah cari ejen sekarang ni, ko boleh run mender ni kat KK ni, takder orang lagi kat sana.

Aku:
Nanti la. Tunggu gaji dulu. Kalau ok, aku call kau.

Exhibit C

Incik Timur,
Ko pegang jawatan apa kat KK?

Aku:
Pensyarah biasa jer. Kenapa?

Incik Timur:
Ko ambik la jaga makmal ker satu. Nanti kalau nak service apa apa boleh kontek aku. Aku buat servis ngan maintenance mesin ni. Nanti kalau ko ada job kat sana ko kontek la aku. Ada la percent untuk ko nanti.
Aku cadangkan ko suh bini ko tu gi daftar kompeni kat sana, pastu boleh la ko jadi agen aku kat sana. Sama sama cari makan la.

Aku:
Nanti la. Tunggu gaji dulu. Kalau ok, aku call kau.

**************
Aku balik KK dengan bawa bersama form untuk ambik ujian jadi ejen insuran, sampel pil jimat petrol dan bisnes card company service dan maintenance mesin.

Nampaknya semua orang dah berbisnes. Aku jer yang sentiasa tunggu gaji.

November 12, 2006

Approach

FaeizFaeiz

Berikut adalah aksi aksi Syafique dan Faeiz bila adiknya, Daniel, menangis.

Syafique:

  1. Gosok pipi Daniel dengan jari telunjuk, kekadang terkasar pun ada.

  2. Menyanyi kuat kuat dekat telinga Daniel dengan lagu yang dia sorang jer paham.

  3. Tengok muka Daniel dekat dekat sampai kadang kadang rambut pun boleh terkena mata.

  4. Cium pipi Daniel.


Faeiz:

  1. Tengok adik dia pastu tanya, "Kenapa Daniel?"

  2. Cari susu Daniel dan kasi Daniel hisap susu walaupun kekadang ibu dia marah sebab agak kasar sikit.

  3. Cari selimut untuk tutup badan atau kepala Daniel.

  4. Bagitau ayah ngan ibu dia Daniel menangis.

  5. Cium pipi Daniel.

Antara kedua dua abang nya ni, Syafique kelihatannya lebih banyak masa bersama dengan Daniel berbanding Faeiz. Yang pasti dua dua pun sayang Daniel, cuma cara yang ditunjukkan tu lain pulak antara dua orang ni.

Adakah Syafique sebagai anak sulung akan lebih menunjukkan sayang kepada adiknya, manakala adiknya Faeiz cuma lakukan tanggungjawab dia dengan mengikuti apa kehendak adiknya?

*Next entry selepas balik PD on 17/11/2007. Itupun kalau ada.
Thanx untuk semua yg melawat dan tinggalkan jejak.

November 9, 2006

Akur

Ashraf DanielAshraf Daniel
Boss:
Mazudi, next week free ker?

Aku:
Jap, check.
13 - 15 haribulan ada course PC Maintenance la boss, internal.

Boss:
Kensel jer la yang tu. Ganti saya gi PD. Ada miting pasal develop kurikulum Politeknik dan Kolej Komuniti untuk RMK9. Kita kena buat Industrial Maintenance nyer kurikulum.

Aku:
errk...

Boss:
Datang kat admin isi borang booking flight.

... dan boss letak telepon.

Aku bukan apa, bak kata Lan Rambai , "Sekarang ni pun masih lagi makan kuih kuih raya sebagai sarapan".

So, next week aku gi PD dengan berbekalkan serdak serdak raya yang semakin menipis tu.
Akur jer la.

November 7, 2006

Teamwork


A

Aku :
Kenapa minggu lepas saya masuk kelas satu orang pun tak datang?

Student:
Mood raya incik. Kami pun ramai yang kat kampung lagi time tu.

Aku:
Jadi dah berpakat la semua tak datang kelas hari tu. Korang punya teamwork memang best laa.

B

Aku:
Mana proposal project yang saya suruh hantar hari tu?

Student :
Ada sikit lagi incik. Bajet projek macam sangkut lagi ni.

Aku:
Dari sebelum puasa lagi saya suruh buat. Takleh nak siap lagi ker. Lagipun bukan buat individu, dalam group.

Student:
Masalahnyer incik, bukan saya yang buat pasal bajet, orang lain yang buat.

Aku:
Esok satu team semua datang jumpa saya. Kita diskas lagi pasal ni.

Dorang ni kan, kalau bab nak kensel kelas ker apa ker, teamwork cukup baik. Tapi kalau pasal kijer, orang ni cakap yg tu tak buat kijer, orang tu tunjuk orang ni tak kasi siap. Malas aku.

November 6, 2006

Info


Lokasi : Ruang printing opis.
Aku, Nerd, Poyo.

Nerd: Semalam ada staff perempuan kena histeria kat kuarters.
Aku : Yer ker. Teruk ker. Staff mana?
Poyo : Kuarters blok mana?
Nerd : Tak tau. Itu jer info yang aku ada.

Semua bersurai.
Aku keluar gi bagi nota yang di print pada satu lecturer lain.

Lima minit kemudian di lokasi yang sama.
Aku, Geek, Otai.

Geek : Semalam ada staff perempuan kena histeria kat kuarters.
Otai : Teruk orang cakap, satu malam tak tido. Menjerit jerit. Staff department X kat kuarters A.
Aku : Sapa kasi tau korang?
Otai : Poyo.
Aku : Huh!

Cuba bayangkan macam mana versi citer ni akan jadi bila time nak punch card pukul 4.15 pm nanti.

November 3, 2006

Hyperaktif


Salah satu sifat kanak kanak hyperaktif yang pernah aku baca ialah, anak akan cepat boring dengan sesuatu benda yang dia buat dan lihat. Cenderung untuk tidak duduk diam serta suka teroka benda baru.

Syafique dengan Faeiz biasanya bangun tidur lebih awal dari ayah dia. Aktiviti pertama yang dia buat ialah buka TV channel cartoon.

Pada hari hari yang biasa sebelum ni, bahasa yang biasa yang digunakan oleh channell katun ni adalah Bahasa Inggeris, tapi pagi tadi aku terkejut bila lihat Tom and Jerry bercakap dalam bahasa cina dekat cartoon network. Dan Syafique ngan Faeiz masih jugak tergelak gelak dengan lawak katun tu.

Aku:
Ibu kenapa katun ni boleh cakap cina pulak ni?

Ibu:
Syafique gi tukar audio dia la tu. Habis semua channel katun dia tukar bahse yang pelik pelik.

Aku:
Apa dia cakap tu Syafique?

Syafique:
Chi Chin Tai Yai.

Aku:
Apa tu?

Ibu:
Chi Chin Tai Yai tu bahse cina. Dah boring la tu dengar katun cakap bahse inggeris. Memandai tukar bahse cina.

Aku:
Ooo... baru ayah tau Cartoon Network pun ada bahse cina eek.

... dan Syafique ngan Faeiz terus gelak tertawakan lawak Tom and Jerry.

Hyperaktif kah mereka?

November 2, 2006

Jujur

Gambar Hiasan. Ini bukan student dalam entry ini.

Kelas pertama dihari pertama kerja lepas cuti raya.

Student:
Incik, saya belum lagi buat surat untuk incik.

Aku:
Surat apa pulak?

Student:
Saya dah dua kali berturut turut tak masuk kelas time bulan puasa baru ni incik.

Aku:
Kenapa?

Student:
Saya kalau kelas petang takleh attend sebab takleh nak elak dari tidur la incik. Memang rutin hidup saya kalau petang mesti tidur.

Aku:
Tak payah la buat surat. Awak buat surat ker tak buat ker, sama jer. Malah kalau awak buat surat, lagi sakit hati rasanya.

Student:
Ooo. Takper la incik. Selamat hari raya. Maaf Zahir batin.

... dan kami pun bersalam salaman.

Dalam hati aku, "Adakah aku secara jujurnya boleh memaafkan student ni?"

October 20, 2006

5ive

Layan Jepun Yang Buat Lawatan Ke Department Aku

Selepas di tag oleh Nieys dan Wear, so aku buat jugak.

5 things I would do if I were a millionaire :
  • Bayar hutang kad kredit yang tak pandai nak habis habis tu.
  • Bayar kasi clear hutang kereta
  • Beli rumah yang lebih selesa untuk family aku
  • Ambik cuti tanpa gaji 40 hari gi travel semua tempat dalam travel list aku.
  • Jadikan kampung aku kat Kelantan sebagai sebuah tempat pelancungan yang menarik.

5 bad habits :
  • Bila dah start onn pc, lima jam tak terasa dan susah nak berenti.
  • Selalu tak nak kasi ada kenderaan lain kat depan bila drive.
  • Suka makan jajan kat depan pc (Aku suka cheezel).
  • Perokok tegar.
  • Last minute.

5 things I hate doing :
  • Buat FRP (File Rekod Pensyarah yg diwajibkan keatas semua pensyarah).
  • Marking Paper.
  • Cuci kereta.
  • Pakai neck tie.
  • Buat kertas kerja aktiviti.

5 things I'll never do :
  • Letak jawatan.
  • Tinggalkan bini aku lebih dari 40 hari
  • Usir anak anak aku keluar dari rumah.
  • Tak angkat telefon dari keluarga aku kat kampung.
  • Jual PC nih.

5 things I regret doing :
  • Jual PC yang aku buat untuk Syafique dengan harga RM100.
  • Jual 20 buah buku cerita 2nd hand yg aku kumpul masa study kat CM dengan harga RM70.00
  • Belajar merokok.
  • Tak habis buat Master Engineering.
  • Tolak tawaran kursus Aircraft Maintenance.

5 fave toys or thing :
  • Gen-2 tu.
  • PC ni.
  • Tungsten E, PDA buruk tu
  • Camera untuk ambik gambar tempek kat blog ni.
  • TiVi.

5 people I choose to do this :
  • Tiara
  • Me!
  • Lan Rambai
  • KingBinjai
  • Mereka mereka yang lain yang ada dalam list blogroll aku yg masih belum buat.

October 18, 2006

Bintang

Semalam tengok movie Korea ni kat Kirana. Lama tak layan citer Korea, macam menarik jugak.

Tajuk dia Byul (Bintang). Citer pasal sorang lelaki suka kat satu doktor hewan. Hari hari pergi beli makanan anjing dia kat kedai awek tu. Tiap tiap hari juga berharap agar anjing dia sakit supaya awek tu boleh rawat anjing dia dan dia boleh duduk lama kat kedai doktor tu. Satu hari anjing dia bergaduh dan kena warding kat klinik awek tu. Dia pun suka hati.

Satu hari dia ajak awek tu gi tengok wayang, tapi awek tu tak datang datang, ada tragedy pulak berlaku bila dia frust dan mabuk lepas tunggu awek tu tak datang. Pastu dia mintak tukar jadi penjaga , apa tu, pencawang telefon ker yg kat atas gunung tu, jauh dari orang. Tinggal dia sensorang kat situ, until one day awek tu gi cari dia. Panjang pulak kalau nak citer.


Pernah tak dalam satu satu masa anda memilih satu bintang supaya suatu masa yang lain bila anda dalam keadaan mandom, anda akan cari bintang tu pastu ingat balik kenapa anda pilih bintang tu.

Pernah dulu bila aku buat satu aktiviti yang memerlukan kami berjalan jam tiga pagi, sewaktu kami berhenti rehat kat atas trek kat sebelah pencawang telefon, aku suruh student aku pilih satu bintang kat langit dan pilih satu kawan kat sebelah dia. Aku cakap, suatu masa nanti, bila awak dalam keadaan blues, awak cari balik bintang yang awak pilih tu dan cuba ingat kat kawan awak tu dan masa kita buat aktiviti ni.

Selepas beberapa lama aku jumpa balik salah sorang student dari team tu yang dah grade dan bercerita:

Student,
Saya dah kerja kat satu company servis dan maintenance kapal kat port dengan satu student encik jugak.

Aku,
Sapa?

Student,
Kawan yang saya pilih bila incik suruh saya pilih bintang kat Gunung Kokol dulu.

Aku,
Ko tau kenapa saya suruh buat begitu? Sebab tempat yang kita berenti tu ada hantu raya yang menjaga pencawang telefon kat situ. Orang yang bertugas kat pencawang tu pun tak sanggup lagi nak tinggal kat situ. Bila ada aktiviti pilih bintang cenggitu, at least tak la saya seriau sangat.